Sunday, January 16, 2011

9 Golongan Orang yang Solat

Golongan 1
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab.Imam Syafi kata jatuh fasik (pun masuk nerakajuga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.
Masya-Allah.. tak nak masuk golongan nie.. paling menyedihkan...

 Golongan 2
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

 Golongan 3
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang.Orang ini jatuh fasik.

 Golongan 4
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

 Golongan 5
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

 Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa. Allah belum lagi cinta orang ini.

 Golongan 7
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

 Golongan 8
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

 Golongan 9
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dariseluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan Tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.
astaghfirullah.. rase kerdil.. 

Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana.
Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama sekali soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

Tuesday, January 11, 2011

Enta, enti, kita sahabat baik

Enta kan sahabat baik ana..."

Majdi angguk.

"Jangan tinggalkan ana ok?"

Majdi tersenyum.

****
Hujan di luar rintis-rintis. Bergabung bersama embun malam yang sedia sejuk.

Majdi menghembus nafas. Termenung. Perkataan 'sahabat baik' berlegar di kepalanya.

Memang sahabat baik. Tapi dia, seorang Zainah. Yang mana: Saya, enta. Dan kamu, enti.

Dan hari-hari yang berlalu. Dan dengan telinga yang semakin mendengar. Dan bersama mata yang terus membaca. Hati ingin terus berubah.

Hanzalah memerhati.

"Apa termenung bro?"

"Tak ada apa.."

Majdi jawab segan-segan.

" 'Dia' yang kamu tunggu, adalah kamu sendiri.."

Majdi mengangkat kening.

"Maksudnya?"

"Kamu yang menyunting dan gubah bunga yang kamu mahukan.."

Majdi sayang akan Zainah. Dia tak mahu sahabatnya itu menangis. Dia kenal akan sahabatnya yang amat memerlukannya. Yang selalu mengadu masalah padanya. Yang selalu bersama berkongsi cerita.

But she is still she. Still ustazah and not ustaz.

"Jom malam ni?"

"Ke mana?"

"Forum pembangunan Islam.."

Hanzalah tersenyum.

****
"Kenapa enta macam lain je?"

"Erm, tak ada apa. Ok je.."

"Ana tanya, jawab sepatah-sepatah je.."

"Tak ada apa Zainah. I'm ok je, dun worry :) "

****


"Saya pelik dengan remaja sekarang.. Terutama dengan yang Ustaz dan Ustazah.."

Ustaz Zahazan memulakan bicara forum.

"Mereka mengajak orang berbuat kebaikan.. tapi ada yang diorang sendiri tak buat.."

Semua khuyuk mendengar.

"Di neraka, nanti ada orang yang disiksa dengan amat teruk.. sehingga ahli neraka hairan dan bertanya kepadanya kenapa dia disiksa begitu. Malah mereka pelik, 'bukankah kamu dahulu mengajak kami ke arah kebaikan'?"

Sungguh, mereka adalah orang yang menyuruh berbuat kebaikan, tetapi tidak melakukan.."

Tenang Imam Muda Asyraf menasihati.

"Jadilah mujahid dan mujahidah Islam yang sebenar.."

Di satu sudut, air mata seorang muslimah sudah mengalir.

Zainah tertunduk.


****
"Orang call tak angkat.."

"Tak sengaja lah.."

"Dia tak sengaja tak apa, kita tak sengaja tak boleh.."

Majdi buat merajuk.

Zainah ketawa.

"Bukan selalu.."

"Ye lah. Wslm.."

"Majdi!!"

" :) "


****
Majdi menghempaskan badannya ke katil. Meletakkan tangannya di kepala.

Tersenyum.

"Nak message Zainah lah.."

Majdi bangun, ingin mengambil handphone di atas meja. Terpandang sahih Muslim yang diletakkan di tepi handphonenya.

Dia menyelak..

Telah berkata Hanzalah r.a : Aku bertemu Abu Bakar as-Siddiq lalu Abu Bakar bertanya

Abu Bakar : bagaimana kamu wahai Hanzalah?"

Jawab Hanzalah : Aku telah jatuh munafiq! :

Abu Bakar : Mahasuci Allah, apa yang kamu katakan ini?.

Jawab Hanzalah : Kita bersama rasulullah s.a.w mengingatkan kita berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami melihatnya di hadapan mata, namun apabila kami keluar dari majlisnya kami bermain-main mesra dengan anak kami dan isteri kami, dan kami telah lupa banyak yang kami pelajari...

Maka berkata Abu Bakar : aku juga begitu. Lalu kami pergi bertemu RasuluLlah saw.

Setelah bertemu aku berkata : Hanzalah telah menjadi munafiq.

Lalu RasuluLlah saw bertanya : kenapa (kamu berkata) begitu ?.

Lalu aku menjelaskan : Sesungguhnya kami bersama Rasulullah s.a.w mengingatkan kami tentang syurga dan neraka seolah kami melihatnya di hadapan kami namun apabila kami keluar dari majlisnya kami bermain-main mesra dengan anak kami dan isteri kami, dan kami sesungguhnya telah lupa banyak dari yang dipelajari.

Lalu RasuluLlah saw bersabda : Jika sekiranya kamu ini kekal begitu (insaf dan takut semasa pengajaranku) dan sentiasa dalam zikir mu maka kamu akan bersalaman dengan para malaikat di tempat tidur mu dan di jalan-jalan kamu akan tetapi satu masa (untuk ibadat) dan satu masa (untuk melakukan perkara lain) - RasuluLlah saw mengulang 3 kali.

(Riwayat Muslim)


Majdi sebak. Ini Hanzalah, sahabat nabi. Sedangkan diri mereka yang hebat merasakan dirinya munafiq hanya kerana bermesra dengan anak dan isteri yang halal.

Aku?

Air matanya mula mengalir. Kali kedua selepas forum tadi.

Bukankah tadi kamu merasakan seakan sudah di tepian neraka Majdi? Apa guna tangisanmu?

Hanzalah masuk. Pelik memerhatikan sahabatnya yang sedang menangis.

"Kenapa ni Majdi?"

Majdi melangut.

"Hanzalah, aku amat berharap malaikat akan turun bersalaman denganku.."


****
Hujan sudah reda. Lampu-lampu perang memancar perlahan menemani malam.

Zainah merenung luar tingkap, mengambil angin malam yang menyejukkan.

Hatinya benar-benar lembut sekarang. Terasa murah dengan tangisan. Forum sebentar tadi ibarat bayu yang menyampaikan salam. Salam hidayah ke hati.

Dia mahu menjadi pejuang Islam. Dan bukankah tanggungjwab sebagai seorang mujahidah itu amat besar? Sebesar pengorbanan.

Nekad.

"Salam, free x? Nak cakap sket.."

Inbox keluar. Zainah. Majdi tersenyum bersahaja.

"Wslm, yup. Silakan.."

"Ana tak tahu nak cakap macamna. Macam mana ya? Erm, perasan tak bila kita selalu message-message, kadang-kadang call.. Perasan tak sepatutnya semua tu berlaku? Hmm.. ana nak calon suami ana yang jaga muamalatnya. Tapi camna ana nak dapat mcm tu kalo ana pun x jaga muamalat? hmm.. banyak benda malam ni yang buat ana menyesal. Ana tak menyesal jadikan enta sahabat baik ana. Tapi kita yang tersilap langkah. Betul tada rasa antara kita. Ana dan enta tada perasaan antara satu sama lain. tapi itu bukan tiket untuk kita selalu message, gurau.. ana selalu cakap pada diri..

'majdi sahabat aku. 'Tada salah untuk berhubung dengan dia sebab kami bukannya ada rasa apa-apa'.

Tapi ana silap.. Ana nak jadi baik, sebab ana nak dapat suami yang baik. Ana nak enta jadi baik supaya enta dapat isteri yang baik. maybe pasni kita da tak yah message yang mengarut dah. Ana menyesal dengan semua yang ana lalui.. ana nak minta maaf pada enta, kalau-kalau selama ni ana wat enta terlalai or apa-apa la.. mohon Allah ampunkan ana.. Mohon Allah jaga kita.. doakan ana.. Syukran suma2.. ana nak berubah.."

Majdi diam. Menatap setiap huruf.

"Tak salah kan kalau ana reply?..."

Hujan kembali rintis di luar.

"Tak.."

Zainah menunggu.

"Maha suci Allah yang menjadikan malam ni untuk kita. Untuk ana, juga untuk enti. Allah benar-benar bantu bila kita mahu berubah kan? Sebelum ni enti pernah tanya, "Majdi, enta macam lain sikit je.." "Kenapa macam acuh tak acuh je dengan ana.." Sebab ana rasa apa yang enti rasa sekarang, Zainah. Tapi ana sayangkan enti sebagai seorang sahabat. Ana nak enti lupakan ana perlahan-lahan. Ana tak nak tinggalkan enti tiba-tiba. Ana tak nak enti menangis. Dan ana takut, seandainya satu hari nanti, ana akan rindukan dan amat rindukan enti. Ana juga benar-benar nak berubah. Sekarang, kita sama-sama berubah ya? Semoga Allah menjaga enti selalu. Semoga Allah menjaga hati kita sentiasa. teruskan menjadi wanita solehah ya.."

Tenang. Setenang hujan di luar.

"Allah.. terima kasih ya Allah.. Terima kasih juga Majdi.. Ana sebelum ni masih keliru. takut enta tinggalkan ana. benar-benar tak nak enta tinggalkan ana. Tapi kita punya tanggungjawab besar. bagaimana mahu menyeru pada kebaikan sedangkan kita bergelumang noda. Ana benar-benar mahu berubah. Moga Allah jaga ana, enta, dan sahabat semua. Terima kasih untuk semua-semua. Segala nasihat, dan perhatian enta, segala-galanya.. Wslm."

Majdi tersenyum. Walau syahdu.

Zainah menangis. Walau pedih.

Redha Allah lebih penting.

Bukankah sahabat yang baik itu membawa ke jalan menuju Allah?


****
Epilog:

Umar bin Abdul 'Aziz.

'Umar pernah jatuh cinta pada seorang gadis. Hanya Fathimah binti 'Abdul Malik, sang isteri bidadari hati yang belum mengizinkan 'Umar menikahi gadis itu.

Namun cinta itu tetap ada.

Kemudian hari itu datang menghampiri. Di puncak pengorbanan yang harus diberikan Umar. Untuk diri, rakyat, dan negerinya.

Walau dirinya sendiri tanpa rehat. Tanpa ruang sedikit walau untuk sekadar tertawa.

Saat Umar bertanya.

"Bagaimana keadaan kaum muslimin hari ini?"

Muzahim, si Perdana Menteri tersenyum.

"Semua kaum muslimin dalam keadaan sangat baik wahai Amirul Mukminin. Kecuali saya, anda, dan baghal anda ini.."

Ditumpukan segalanya hanya untuk perjuangan.

Fathimah amat merindukan senyum sang suami. Lalu dibawanya sang gadis yang dicintai 'Umar untuk dinikahi.

Gadis yang amat dicintainya, begitu juga sebaliknya pada sang gadis.

Nyala cinta itu kembali. Meronakan harapan. Mewarnakan hati yang sebelumnya lelah.

Namun, di sinilah cinta semasa dan cita besar perubahan bertemu dan bertarung. Di perlantaran hati sang khalifah.

Ajaib, 'Umar menikahkan gadis tersebut dengan pemuda lain.

Kata Ustaz Anis Matta. Tak ada cinta yang mati di sini.

Sebelum meninggalkan kediaman 'Umar, gadis itu bertanya sendu.

" 'Umar, dulu kau pernah sangat mncintaiku. Tapi kemanakah cinta itu sekarang?"

'Umar bergetar haru. Ada sesak di dadanya.

"Cinta itu tetap ada.."

"Bahkan kini rasanya jauh lebih mendalam..."

(Dipetik dari buku Agar bidadari cemburu padamu- Salim A. Fillah)


****

Saturday, January 8, 2011

Wasiat Iman Ayah dan Ibu

Wahai Anakku,
Andai ibu dan ayah pergi meninggalkanmu buat selamanya,
Bersabarlah, kuatkan semangatmu, teguhkan imanmu,
Jagalah dirimu baik-baik,
Ingatlah segala pesan ayah dan ibu selama ini,
Berbuat baiklah kepada semua manusia,
Jangan sombong, jangan berbohong, jangan bermusuh,
Jadilah manusia yang berguna dan berjasa.
Wahai Anakku,
Patuhilah segala perintah dan larangan Allah,
Jangan tinggalkan sembahyang,
Jangan buat dosa kepada Allah,
Berdoalah kepada Allah agar dirimu sentiasa dipelihara,
Berlindunglah dengan Allah andai dirimu ditimpa kesusahan,
Bertaubatlah segera andai kau melakukan dosa.
Wahai Anakku,
Belajarlah bersungguh-sungguh,
Tunaikanlah harapan ayah dan ibu,
Agar dirimu beroleh kejayaan yang cemerlang,
Walaupun ayah dan ibumu tiada bersamamu ketika itu,
Namun, kejayaanmu pasti membahagiakan kami.
Wahai Anakku,
Ayah dan ibu pasti akan merinduimu,
Biarpun terpisah jasad dan nyawa,
Biarpun tiada lagi pertemuan di dunia,
Namun, pertemuan kita di akhirat nanti… InsyaAllah,
Akan lebih bermakna… Akan lebih membahagiakan kita.

Saturday, January 1, 2011

Kesakitan Lumrah Dalam Kehidupan


Kesakitan adalah lumrah dalam kehidupan. Nikmat dan musibah silih berganti, begitu juga kesihatan dan kesakitan. Malah ketika manusia lahir, ibu dan anak saling merasai kesakitannya. Begitu juga ketika manusia akan kembali ke akhirat, kesakitan akan mengiringinya juga. Bagaimanakah sikap seorang mukmin ketika ditimpa kesakitan..?

Entry ini bukanlah bertujuan menghuraikan dari segi teknik beribadah ketika sakit dan bukan juga untuk mencadangkan ubat-ubatan tertentu untuk meredakan kesakitan atau menyembuhkannya. Namun ianya berkaitan tentang jiwa mukmin ketika sakit.

Mari kita lihat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui sahabat bernama Abu Yahya Suhaib bin Sinan r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ajaib sungguh dengan keadaan seorang mukmin. Keadaannya sentiasa dalam kebaikan dan ini tidak berlaku melainkan hanya pada diri seorang mukmin. Sekiranya mereka menerima nikmat kesenangan, dia bersyukur lalu itu menjadi kebaikan kepadanya.  Dan sekiranya dia menerima ujian kesusahan, dia bersabar lalu itu juga menjadi kebaikan kepadanya.”

Begitulah kelebihan yang diberikan Allah s.w.t. kepada seorang mukmin yang menerima apa jua keadaaannya dalam keadaan redha dan positif. Walaupun sifat ini tidak semudah yang disebutkan, tetapi menjadi satu bentuk galakan dan motivasi untuk menyediakan diri dalam menghadapi situasi sukar dalam kehidupan.

Jiwa seorang mukmin melihat kesakitan dan kesusahan itu sebagai ujian untuk dirinya. Sebagaimana ujian kesenangan dihadapi dengan kesyukuran, maka ujian kesakitan dan kesusahan juga perlu dihadapi dengan kesabaran. Kesabaran sebegini menuntut dirinya untuk merenung dan memikirkan sejenak atau bermuhasabah untuk memperbaiki diri.  Dirinya tidak akan melihat kesakitan sebagai hukuman semata-mata tetapi melihatnya lebih kepada pengajaran untuk dirinya supaya tetap istiqamah.

Nabi s.a.w. mengajar jiwa seorang mukmin agar melihat kesakitan dari sudut positif melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui isteri Nabi s.a.w. iaitu Aisyah r.a. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak ada satu musibah kesusahan pun yang menimpa seorang muslim melainkan Allah s.w.t. akan mengampunkan dosanya disebabkan musibah itu, termasuklah walau sekadar duri yang dipijaknya.”

Oleh sebab itu, sebagai seorang mukmin kita seharusnya merasai bahawa kesakitan yang dirasai bukanlah sia-sia dan kosong semata-mata. Malah kesakitan itu memberi makna yang amat mendalam iaitu pengampunan dosa. Tidakkah pengampunan dosa itu menandakan kasih sayang Allah s.w.t.?

Begitulah yang sepatutnya dirasai oleh hati seorang mukmin yang ditimpa kesakitan samada kecil atau besar. Hakikatnya sakit merupakan penyejuk hati dan penenang jiwa bagi setiap muslim. Sakit juga menunjukkan keampunan, rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t.

Kita juga dapat melihat di dalam Al-Quran dan Hadis bagaimana pentingnya kesabaran dalam kehidupan. Kesabaran amat penting sehinggakan kita dapat melihat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui sahabat bernama Abu Said al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dan tidaklah seseorang itu dikurniakan dengan kurniaan sebaik dan seluas kesabaran.” Walaubagaimanapun, kesabaran itu berguna bukan sahaja dalam keadaan ditimpa musibah tetapi juga dalam keadaan lain.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita agar bersiap sedia untuk bersabar ketika ditimpa kesakitan. Begitu juga kepada sahabat-sahabat kita yang ditimpa ujian kesakitan agar mereka bersabar dan bersungguh-sungguh mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.  Itulah satu-satunya jalan menghadapi kesukaran dan kesusahan kerana itulah sikap dan jiwa seorang mukmin. InsyaALLAH..

Selamat beramal. ^_^