Wednesday, May 11, 2011

Hakikat Seorang Pejuang Agama

Derita ini bukan idaman, tetapi ia sengsara warisan,
Akan terus tempuh ombak yang mangasak sebak,
Lautan yang bergelora, penuh kerenah kerakusan manusia,

Namun….
Apakah pilihan yang ada dalam kembara sebuah agenda..?
Perjuangan sering mendesak pengorbanan dan keletihan,
Cita dan cinta merakuskan airmata dan jiwa lara,

Namun…
Perjuangan, keikhlasan, pengorbanan adalah keajaiban Tuhan,
Dalam gelora, kita mengecap bahagia,
Dalam airmata, kita mengecap cinta,
Dalam gawat, kita menikmati rahmat,
Dalam cekal, kita mengenal tawakkal,
Dalam sentap dan senyap, tersingkap doa yang mustajab,

Di dataran ini…
Kita mengenal kesetiaan rakan dan teman,
Kemanisan persaudaraan iman kerana ALLAH,

Dalam badai inilah…
Kita ingat akan sebuah matlamat yang tersemat,
Maka kudus iman di jiwa tidak akan berbelah dua,
Dunia menjadi semakin kecil dan terpencil,
Insan dan kuasa menjadi semakin kerdil,
Kita membawa pelita cahaya menempuh dunia luka,
Menanggung sengsara berat untuk kebahagiaan insan sejagat,
Mewarisi amanah Rasulullah dan sahabat yang berkat,

Inilah dia beban…
Tinggalan pejuangan yang sudah lama memakan korban,
Sakit perit mujahid dalam menikmati ketulusan tauhid,
Lurah pendakwah yang menempah susah dan pasrah,
Kita tempuh dan kita tempah…
Bukan kerana rela… namun jalan yang terpaksa…
Bagi setiap yang bangkit membela suara langit,

Namun…
Kita tetap menang, dan tetap gemilang,
Kita tetap terbilang kerana kami pejuang,
Jika tidak di dunia fana,
Harapnya di syurga di perhentian sana,
Maka…
Derita ini bukan idaman tetapi ia derita warisan.