Monday, June 13, 2011

Pilihanku Adalah Tarbiyyah

Hidup ini sebuah pilihan.
Hidup ini sebuah harapan.
Kita memilih dan mengharap atas pelbagai keinginan.
Kita juga dipilih dan diharapkan menunaikan pelbagai keinginan.
Dan sengaja hakikat ini diciptakan sedemikian.
Agar terus ada dahi-dahi yang sujud dengan kerendahan hati
Agar terus ada jiwa-jiwa yang menangisi kesilapan diri
Agar terus ada tangan-tangan yang menengadah ke langit
Demikian kehidupan kita di bumi.
Tidak mudah
Dan tidak pasti.
Tetapi hakikatnya indah
Dan penuh seri,
Kepada mereka yang mahu merasai.
Tidak akan aku kecewakan hati itu.
Hanya kerana hatiku kaku dalam sendu.
Tidak akan aku padamkan semangatnya
Hanya kerana semangatku kelam kelabu.
Tidak akan aku biarkan hati itu dirundung kerisauan
hanya kerana kelemahan aku yang masih berterusan.
Aku perlu bangkit.
Demi hati yang mengharapkan kebangkitan ku.
Demi umat yang menuntut keazamanku.
Demi diriku yang memerlukan aku.
Allah…  inilah jalan tarbiyyahku..

Saturday, June 11, 2011

Berhentilah Beralasan

Jihad itu adalah kesungguhan menegakkan kalimah Allah dimuka bumi milik-Nya. Atas sebuah kesungguhan itu, tanggungjawab dakwah juga menjadi suatu jihad yang menuntut sebuah kesungguhan mendalam dalam menyampaikan risalah Allah dan menyambung perjuangan suci baginda Rasulullah s.a.w. Dakwah memerlukan kesungguhan kita untuk mempengaruhi manusia supaya kembali kepada jalan Allah. Sungguh tugas Nabi itu tidak lain tidak bukan hanya untuk menyampaikan dan bukan di dalam kekuasaan mereka untuk memberi hidayah. Hidayah itu hanya milik Allah.

Jangan kita suka memberi alasan ketidakmampuan kita untuk berdakwah sebagai alasan untuk tidak melakukan jihad ini. Tidak perlu menunggu diri menjadi seorang ustaz atau ustazah  untuk kita menyampaikan kepada manusia. Sikap kita terlalu suka memberi alasan bila datang soal Jihad dan Dakwah. Tidak Mampu? Takut? Lemah? Tidak Cukup? Tidak Suka?

Al-Quran telah menjawab persoalan antum...

Antum Tidak Mampu?

“ Dan supaya Dia mengetahui orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah berperang di jalan Allah, atau menangkislah.’ Mereka berkata, ‘Sekiranya kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentu kami mengikuti kamu.........”(3:167)

Itulah jawapan golongan munafik bila disuruh kepada mereka untuk berperang. Maka, kita juga sekiranya memberikan alasan tidak mampu untuk berdakwah dan berjihad, maka tiada bezanya kita dengan golongan munafik yang akan ditempatkan Allah dineraka paling azab.

Tanggungjawab untuk berdakwah dan berjihad ini tergalas dibahu kita. Sekiranya telah dipertanggungjawabkan kepada kita maka pasti ia dalam batas kemampuan kita kerana itu janji Allah, bahawa dia tidak akan menguji kita lebih dari kemampuan diri.

Maka berperanglah kamu di jalan Allah; kamu tidak dibebani kecuali dengan diri kamu sendiri. Dan gesalah orang-orang mukmin, mudah-mudahan Allah akan menahan kekuatan orang-orang yang tidak percaya, dan Allah adalah lebih kuat dalam kekuatan, lebih keras dalam hukuman.” (4:84)

 Antum Takut?
  
“........Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka takut kepada Allah atau dengan lebih takut, dan mereka berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau menetapkan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau menangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat? Katakanlah, ‘Kesenangan dunia ini sedikit dan akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dizalimi sedikit pun.’” (4:77)

Ketakutan itu adalah fitrah dan lumrah makhluk yang bernama manusia. Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. juga takut dan gerun apabila berperang. Namun, ketakutan itu bukanlah alasan menjadikan mereka lemah. Sebaliknya ketakutan itu dilawan dengan mujahadah untuk rindukan sebuah kematian bernama syahid. Dan Allah sering mengingatkan kita, matlamat kita yang paling utama adalah akhirat dan syurga itu sebaik-baik tempat untuk kembali.

Antum Lemah?
  
“Dan berapa ramainya Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa dan mereka tidak menjadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak patah semangat, tidak pula tunduk dan Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (3:146)

Itulah janji Allah apabila Allah memberikan contoh para nabi sebelumnya yang telah diseru kepada mereka dan kaum mereka untuk berperang dan keyakinan mereka kepada Allah, bahawa Allah memelihara mereka dan tidak mensia-siakan usaha mereka, lantas mereka tidak merasakan lemah dan tidak tunduk kepada golongan yang ingkar kepada Allah. Manusia itu memang diciptakan Allah secara semulajadi lemah. Akuilah kita insan yang lemah dan tidak berupaya tanpa pertolongan Allah. Namun, Allah tetap memilih kita untuk berperang dan berdakwah kerana itu adalah tanggungjawab. Maka, alasan lemah tidak sesekali diterima Allah di hari perhitungan kelak.

Antum Berasa Tidak Cukup?

 “Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus, jika ada antara kamu seratus, mereka akan mengalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (8:65)

Kita sentiasa merasakan diri serba kekurangan, tidak cukup harta, tidak cukup tenaga, tidak cukup orang untuk berperang bersama kita, tidak cukup masa, tidak cukup bekalan bersama kita. Itulah alasan yang kerap kita berikan apabila diseru berperang dan berdakwah. Percayalah, jika kita benar ikhlas kerana Allah, Allah akan mencukupkan segalanya buat kita. Kecukupan bukan bermaksud apabila kita berperang kemudian kita menjadi kaya raya, diberi masa 48 jam sehari atau rakan taulan perjuangan yang berlipat ganda. Kecukupan itu adalah kita sendiri merasakan syukur dan merasa cukup dengan semua nikmat yang telah Allah bagi sehingga kita tidak akan meminta-meminta itu dan ini dari sesiapa pun.

Antum Tidak Suka?

 Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui ( 2:216)

Fitrah manusia tiada siapa pun yang suka kacau-bilau, bunuh-membunuh dan huru-hara peperangan. Namun, Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik. Telah ditentukan berperang itu jalan terbaik buat kita hamba-Nya maka itulah yang terbaik. Kehidupan kita bukan berlandaskan apa yang kita suka. Rasa suka itu adalah dicipta dari nafsu. Nafsu memang sukakan kesenangan dan tidak suka kepada kesusahan. Berperang dan berdakwah itu adalah sesuatu yang kita tidak suka maka ia adalah cara terbaik menundukkan nafsu.


Nah, apalagi alasan antum untuk tidak melaksanakan tanggungjawab yang tergalas dibahu antum sekarang..?? Hentikanlah memberi alasan. Hentikan sekarang!!! Mari bangun berjihad dan berdakwah sedaya mampu kita. Alasan bukan dicipta untuk kita menjadi lemah dan melarikan diri tapi alasan adalah ujian menilai sejauh mana kehebatan antum untuk menempatkan diri di syurga-Nya.

JOM KITA BERLARI BERSAMA-SAMA KE SYURGA...


Friday, June 10, 2011

Surat Cinta Al-Fath

Ukhti,

Ku layangkan warkah ini tatkala diriku merasakan kita semakin mundur dari dakwah, semakin negatif dalam iman.. kerana putaran gerak kerja yang meletihkan... 

Ukhtiku sayang,

Wa kazalika jaa'lnakum UMMATAN wasatan litakuunu SYUHADAa a'lannas, wa yakuunar rasuulu a'laikum syahida..

Dan kami jadikan kamu umat pertengahan untuk menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi kepadamu.. 

"Umat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada diriku dan dirimu, bahawa kita adalah umat perantara yang harus menyaksikan kebenaran kepada manusia seluruhnya, sebagai tanda terima kasih kepada golongan terdahulu yang telah menyampaikan islam kepada kita.. Ayat ini menegaskan tentang tuntutan syahadatul haq daripada diriku dan dirimu agar kita dapat terlepas dari dipikulkan dosa-dosa mereka yang tidak mahu mengesakan ALLAH dalam kehidupan.."
 
Ukhtiku sayang,

Perjalanan yang bakal kau tempuh ini panjang, jangan sekali-kali ukhti berputus asa dari rahmat ALLAH.. Rasulullah pernah berpesan, "Jika di tanganmu ada sebutir biji benih dan hari kiamat akan berlaku esok hari, maka tanamkan biji benih itu.." Kata-kata ini mengulas maknanya yang jelas.. kita harus berusaha walau dengan sebanyak mana jua harapan yang ada. Gunakan tenagamu untuk melunaskan syahadatul haq ini sebaik mungkin, walaupun esok kiamat bakal menjelang.. 

Ukhtiku sayang,

Khaulah pejuang agung, pergerakannya sendiri, kekuatannya pada iman, hafazannya ayatul Quran.. ummahat kita Saiditina Aisyahul Humairaa', Saiditina Fatimah, Saiditina Khadijah.. mereka juga serupa kita, merasai lemah apabila iman mula yanquz.. tapi mereka membatasi kekurangan iman dengan qiamullail dan taqarrub dengan ALLAH.. Ijlis Bina Wa Nukminus Saah! Usah  lupa laungan semangat dari sahabat terdahulu yang mengingatkan kita agar tidak menyusur jalan ini seorang diri. Ukhti tahu bukan, serigala segerombolan mahu mengaburi mata kita dari jalan ini.. syaitan menyuruh kita memilih antara toriqul hawa' dari toriqul syariah.. Maka beruntunglah mereka yang memilih toriqul syariah kerana mereka sentiasa dalam rahmat dan naungan kasih ALLAH.. Ana yakin wahai ukhti, sabarmu itu pasti diganjari ALLAH dengan ketenangan, sakinah dalam perjuangan dan kemanisan dalam keimanan.. banyak lagi yang harus enti cuba langsaikan.. enti harus meneruskan mujahadah ini agar aqidah yang diiqrarkan benar, ibadah yang dilakukan sahih.. Jerih payahmu meniti hari memikul beban daie dihitung ALLAH.. malaikat raqib atid menjadi saksi..ketahuilah, bahawa ukhti tidak keseorangan dalam pelayaran ini, seluruh isi langit, bumi dan segala yang berada di antara keduanya, bersamamu.. kerana dakwah ini adalah kurniaan ALLAH, ia lembut menolak ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah.. mengikut fitrahmu.. 

Ukhtiku sayang, ana sayangkan ukhti...

Ana mahu kita sama-sama berada dalam medan dakwah ini... Sama-sama merasai suka, duka, pahit, manis perjuangan ini... Moga kita bukan dalam golongan yang ditapis oleh Allah, insyaALLAH...

Khas buatmu,
Ansar, badar dan uhud...

Uhibbukum lillah, kita adalah penguat sesama kita.. InsyaALLAH... Ingatkan diriku andai mulai terleka...

Sayang antum LILLAH!!!

Thursday, June 9, 2011

Kisah Talut dan Jalut

Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini, para pejuang pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas dan berada dalam jalan yang benar tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Nabi, para Rasul Allah, sahabat-sahabat mereka, para ulama’,  pewaris Nabi dan sekalian da’ie secara umumnya pasti ditimpa ujian yang datang menguji. Perkara ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada pejuang Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.

Istiqamah mudah disebut  tetapi begitu susah dalam menghadapinya. Sudah ramai yang mula mengundur diri, sudah ada yang mula berpaling tadah dan ada juga yang mula merungut kerana inginkan kemenangan didekatkan serta perjalanan perjuangan dipendekan. Mereka gopoh dalam berjuang menyebabkan mereka tercicir atas kebodohan diri mereka sendiri.

Hari ini, ana ingin berkongsi sedikit mengenai kisah Talut dan Jalut yang diceritakan di dalam SURAT CINTA ALLAH (AL-QURAN) iaitu dalam Surah Al-Baqarah ayat 246-251. Kisah ini menceritakan mengenai tapisan ALLAH terhadap hamba-hambanya untuk memilih para pejuang agama yang benar-benar ikhlas berjuang di jalan ini...

Peristiwa ini berkisar selepas zaman Nabi Musa di mana kamu Bani Israil telah meminta kepada nabi mereka untuk mengangkat seorang raja untuk mereka.

"Angkatlah seorang raja untuk kami, niscaya kami berperang di jalan Allah", kata mereka.
 
"Jangan-jangan jika diwajibkan atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga", balas nabi mereka. 

"Mengapa kami tidak akan berperang di jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami", jawab mereka. 

Namun, ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka berpaling kecuali sebahagian kecil dari mereka. Ternyatalah anggapan nabi mereka tersebut. Kemudian, nabi mereka menyatakan bahawa Allah telah mengangkat Talut menjadi raja mereka.

Keputusan itu telah dibangkang sepenuhnya oleh mereka.  "Bagaimana Talut memperoleh kerajaan atas kami, sedangkan kami lebih berhak atas kerajaan itu daripadanya dan dia tidak diberi kekayaan yang banyak?," soal mereka.
 
"Allah telah memilihnya menjadi raja kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan fizikal. Allah memberikan kerajaan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui," jawab nabi mereka. 

Ketika Talut membawa bala tenteranya untuk menentang tentera Jalut, dia berkata, "Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka barang siapa meminum airnya, dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menceduk seceduk dengan tangan.”

Namun, apakan daya. Nafsu mereka mengatasi segalanya. Ramai dari tentera Talut ingkar arahan tersebut. Gugurlah mereka dari menyertai tentera Talut. Hanya sebilangan kecil dari mereka yang menurut perintah ketua mereka itu. 

Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan. Semasa Talut dan orang-orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka berkata, "Kami tidak kuat lagi pada hari ini melawan Jalut dan bala tenteranya.”

Namun, bagi mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah pula berkata, "Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar". 

Maka, semakin berkuranglah tentera Talut yang terus berjuang. Mereka berjaya melepasi ujian-ujian Allah. Mereka sangat kuat dan bersemangat. Mereka tidak seperti orang-orang yang luntur iman mereka, yang telah tertapis keluar sebelum sempat berhadapan dengan bala tentera Jalut.

Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya  mereka berdoa,  "Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
 
Maka dengan izin Allah, mereka berjaya menewaskan Jalut dan bala tenteranya. Walaupun dengan bilangan yang kecil, namun dengan iman yang kuat, semangat yang tidak pernah luntur dan yakinnya akan pertolongan Allah mereka berjaya memenangi peperangan itu. 

Begitulah juga dengan kita. Segala ujian-ujian yang datang dalam hidup kita adalah datang dari Allah untuk menguji kekuatan kita, untuk membentuk diri kita, untuk melatih kita dan untuk menjadikan kita individu muslim yang benar-benar mantap. 

Seperti analogi monyet yang diceritakan oleh Ustaz Rahmat di dalam Filem Sang Murabbi, 
"Jika angin bertiup kuat, mereka(monyet) akan berpaut dengan kuat pada dahan itu. Namun, jika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, mereka akan dibuai dan terlena. Akhirnya, jatuh ke tanah!"

Akhir kalam, setiap kita akan diuji, diuji dan terus diuji… hingga kita terasa lelah… namun jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah dan sentiasalah bersangka baik dengan Allah walau selelah manapun kita… Peringatan buat diri ana terutamanya...
Sekian. Wassalam.

Wednesday, June 8, 2011

Analogi Sebuah Kehidupan

Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Dia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya pula ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka sebutlah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Murid-muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara tangan kanan dan kirinya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru, kekok dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya.

"Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang batil itu batil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh memaksa kita dengan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu dari yang haq menjadi batil dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan kamu mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.”

"Keluar berdua-duaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah tanpa rasa malu, seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan.

Paham?" tanya guru kepada murid-muridnya.  "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu guru melanjutkan.

"Cikgu ada buku, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya untuk mengambil buku yang ada ditengah tanpa memijak karpet?"

Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat dan lain-lain. 
Akhirnya guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet dan dia mengambil buku tersebut. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet.

"Murid-murid, begitulah umat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda secara terang-terangan... Kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir sehingga anda tidak sedar.”

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunkanlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah tentu susah kalau dimulai dengan tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara  mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh-musuh kita... "

"Kenapa mereka tidak berani memijak kita secara terang-terangan cikgu?" tanya murid-murid.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terangan menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang secara terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar."

"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." 

Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka sambil bermuhasabah ke dalam diri masing-masing.

Friday, June 3, 2011

Itulah Jalan Jundullah



Jalan ini...
Mengajar erti perjuangan,
Mendidik makna pengorbanan,
Azam dan tekad perlu diteguhkan,
Istiqamah dan istimrar tidak jua ketinggalan...

Pelbagai mehnah kan hiasi perjalanan,
Harta dan jiwa kan kita korbankan,
Ketawa riang kan kita tinggalkan,
Tangisan syahdu kan menanti dalam perjalanan...

Ayuh! Ke mari wahai jundullah,
Kuatkan tekad, ayunkan semangat,
Dalam menggapai redha Yang Satu,
Inilah kisah dalam perjuangan,
Andai putus lengan kita berpaut siku,
Andai putus siku kita bergayut bahu,
maut tidak akan diambil tahu...

Namun, wahai jundullah,
Mari kita lihat firman ALLAH s.w.t. yang bermaksud :
“.... dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu ini   (Muhammad : 38)”

Ayat Allah cukup menggentarkan,
Dia tidak teragak-agak membuat tapisan,
Buat hamba yang bermalas-malasan,
Senantiasa mencipta alasan,
Liat dengan dakwah dan peningkatan,
Mahu diketuk berterusan,
Tidak menjadikan penggeraknya iman,
Cinta Allah dibuatnya khayalan...

Bimbang kelak diri akan terbuang,
Daripada jalan dakwah yang penuh ujian,
Sahutlah seruan dakwah ini dengan keikhlasan...

Ketahuilah,
Allah memelihara jalanNya,
Agar disusuri hati yang bersih,
Sarat dgn ketakwaan,
Merindui wajahNYA jua keredhaan..
Itulah jiwa insan pejuang.

Bimbangilah..
Daripada memiliki jiwa munafik..
Bertopeng ketaatan…

Thursday, June 2, 2011

Satu Tekad, Satu Azam, Satu Matlamat

Wahai  saudara dan saudariku sedarlah dirimu
Kembalilah pada Al-Quran dan Sunnah
Hidupkanlah sejarah lama
Di bawah kesatuan yang murni

      Cuba lihat Islam kini
      Di mana-mana sering ditindas
      Menjadi mangsa sang durjana
      Yang ego penuh kemungkaran

Wahai ummahku yang telah sedar
Bangkitkanlah temanmu yang alpa
Leka dengan keindahan dunia
Lupa akan kedatangan hari esok

      Kita satu arah, satu matlamat
      Punyai cita yang sama
      Membina semula Daulah Islamiyah
      Yang sudah lama hilang

Wahai ummahku ingatlah selalu
Kita berpadu atas dasar Allah
Bersama Quran dan Sunnah
kita beredar demi kejayaan...

      Melangkah bersama menggenggam azam
      Belukar diredah onak diharungi
      Matlamat diburu cita nan murni
      Menuju Daulah Islamiyah tercinta.


Wahai ummahku marilah bersama
Bersatu di bawah panji Islam
Usahlah gentar musuh dihadapan
Dalam menuju era kebangkitan.

      Lihatlah dunia kini
      segalanya di bawah kuasa Kuffar
      Kezaliman terus bermaharajalela
      Yang tertindas adalah kita.

Tidakkah kau melihat
Saudaramu di antero dunia
Ditindas...dihina...
Penuh dengan penderitaan
     
      Wahai  Tuhanku Yang Maha Esa
      Bantulah perjuangan kami
      dalam mengembalikan kemurnian syariatmu
      Agar terbina suasana Islam
      Agar tertegak kalimahMu yang suci...