Saturday, January 1, 2011

Kesakitan Lumrah Dalam Kehidupan


Kesakitan adalah lumrah dalam kehidupan. Nikmat dan musibah silih berganti, begitu juga kesihatan dan kesakitan. Malah ketika manusia lahir, ibu dan anak saling merasai kesakitannya. Begitu juga ketika manusia akan kembali ke akhirat, kesakitan akan mengiringinya juga. Bagaimanakah sikap seorang mukmin ketika ditimpa kesakitan..?

Entry ini bukanlah bertujuan menghuraikan dari segi teknik beribadah ketika sakit dan bukan juga untuk mencadangkan ubat-ubatan tertentu untuk meredakan kesakitan atau menyembuhkannya. Namun ianya berkaitan tentang jiwa mukmin ketika sakit.

Mari kita lihat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui sahabat bernama Abu Yahya Suhaib bin Sinan r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ajaib sungguh dengan keadaan seorang mukmin. Keadaannya sentiasa dalam kebaikan dan ini tidak berlaku melainkan hanya pada diri seorang mukmin. Sekiranya mereka menerima nikmat kesenangan, dia bersyukur lalu itu menjadi kebaikan kepadanya.  Dan sekiranya dia menerima ujian kesusahan, dia bersabar lalu itu juga menjadi kebaikan kepadanya.”

Begitulah kelebihan yang diberikan Allah s.w.t. kepada seorang mukmin yang menerima apa jua keadaaannya dalam keadaan redha dan positif. Walaupun sifat ini tidak semudah yang disebutkan, tetapi menjadi satu bentuk galakan dan motivasi untuk menyediakan diri dalam menghadapi situasi sukar dalam kehidupan.

Jiwa seorang mukmin melihat kesakitan dan kesusahan itu sebagai ujian untuk dirinya. Sebagaimana ujian kesenangan dihadapi dengan kesyukuran, maka ujian kesakitan dan kesusahan juga perlu dihadapi dengan kesabaran. Kesabaran sebegini menuntut dirinya untuk merenung dan memikirkan sejenak atau bermuhasabah untuk memperbaiki diri.  Dirinya tidak akan melihat kesakitan sebagai hukuman semata-mata tetapi melihatnya lebih kepada pengajaran untuk dirinya supaya tetap istiqamah.

Nabi s.a.w. mengajar jiwa seorang mukmin agar melihat kesakitan dari sudut positif melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui isteri Nabi s.a.w. iaitu Aisyah r.a. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak ada satu musibah kesusahan pun yang menimpa seorang muslim melainkan Allah s.w.t. akan mengampunkan dosanya disebabkan musibah itu, termasuklah walau sekadar duri yang dipijaknya.”

Oleh sebab itu, sebagai seorang mukmin kita seharusnya merasai bahawa kesakitan yang dirasai bukanlah sia-sia dan kosong semata-mata. Malah kesakitan itu memberi makna yang amat mendalam iaitu pengampunan dosa. Tidakkah pengampunan dosa itu menandakan kasih sayang Allah s.w.t.?

Begitulah yang sepatutnya dirasai oleh hati seorang mukmin yang ditimpa kesakitan samada kecil atau besar. Hakikatnya sakit merupakan penyejuk hati dan penenang jiwa bagi setiap muslim. Sakit juga menunjukkan keampunan, rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t.

Kita juga dapat melihat di dalam Al-Quran dan Hadis bagaimana pentingnya kesabaran dalam kehidupan. Kesabaran amat penting sehinggakan kita dapat melihat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui sahabat bernama Abu Said al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dan tidaklah seseorang itu dikurniakan dengan kurniaan sebaik dan seluas kesabaran.” Walaubagaimanapun, kesabaran itu berguna bukan sahaja dalam keadaan ditimpa musibah tetapi juga dalam keadaan lain.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita agar bersiap sedia untuk bersabar ketika ditimpa kesakitan. Begitu juga kepada sahabat-sahabat kita yang ditimpa ujian kesakitan agar mereka bersabar dan bersungguh-sungguh mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.  Itulah satu-satunya jalan menghadapi kesukaran dan kesusahan kerana itulah sikap dan jiwa seorang mukmin. InsyaALLAH..

Selamat beramal. ^_^   

2 comments:

  1. Doa orang yang sakit juga adalah mustajab...

    ~perkara yang jarang - jarang dilakukan kita iaitu untuk minta orang yang sakit itu mendoakan kita....

    "mudah - mudahan sentiasa dalam kebaikan"

    ReplyDelete
  2. amin..
    INSYAALLAH..
    syukran ukhti..

    ReplyDelete