Wednesday, December 22, 2010

TeKa-TeKi AbU nAwAs

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...
Bersyukur sangat coz Allah masih memberikan kekuatan untuk ana menukilkan sesuatu untuk blog yang tercinta ini... hehehe
Kali nie ana nak ceritakan sebuah kisah mengenai Abu Nawas vs Imam Hanbali...
Kisahnya bermula dari.... PRIT!!!!!!!!!!! (tak ingatlah bunyi wisel macam mana... tue kot bunyinyer...) J
Matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Cahaya senja kemerahan menyeruak di permukaan langit. Bola api raksasa itu merangkak perlahan-lahan ke peraduannya. Ketika itu orang ramai sudah berkumpul di Masjid Jamek Kota Baghdad. Sementara menunggu masuknya waktu solat maghrib mereka mendengar Imam Hanbali membacakan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Ada pula yang mengambil kesempatan bertanyakan berkenaan masalah agama. Sudah menjadi kebiasaan Imam Hanbali berjumpa dengan orang ramai antara waktu asar dan maghrib. Jika tidak ada yang bertanyakan berkenaan masalah agama beliau membacakan hadis nabi. Sedang mereka tekun mendengar hadis yang dibacakan Imam Hanbali tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian cantik lalu berkata.
“Wahai Imam Hanbali, khabarnya kamu seorang yang bijak. Nama kamu menjadi sebutan orang ramai. Aku datang mahu menguji kebijaksanaan kamu. Jika kamu dapat menyelesaikan masalah aku ini, sememangnya kamu orang yang bijak. Tetapi jika gagal maka aku lebih bijak daripada kamu,” kata Abu Nawas seorang lelaki yang dikatakan paling pintar di Kota Baghdad.
“Apa masalah kamu wahai Abu Nawas?” tanya Imam Hanbali. Dia kelihatan tenang sahaja.
Biasanya apabila Imam Hanbali sedang membacakan hadis tidak ada sesiapa pun yang berani mengganggu. Orang ramai tekun mendengar sehingga hadis itu habis dibacakan. Tetapi Abu Nawas sengaja berbuat begitu bagi menguji Imam Hanbali yang menjadi saingannya.
“Aku ada 3 perkara aneh. Pertama aku suka bersaksi dengan perkara yang tidak pernah aku lihat...,” kata Abu Nawas dengan suara yang lantang supaya didengar orang ramai.
“Itu saksi bohong namanya!” teriak Kumair salah seorang anak murid Imam Hanbali.
“Tidakkah kamu tahu wahai Abu Nawas? Sesiapa yang menjadi saksi mestilah melihat dulu barang yang disaksikannya. Jika tidak pernah melihatnya maka kamu tidak boleh bersaksikannya,” kata Sufian pula.
“Apakah perangai anek kamu yang kedua, wahai Abu Nawas?” tanya Imam Hanbali pula. Dia masih tenang dengan pertanyaan lelaki yang terkenal dengan kebijaksanaannya itu.
“Aku paling suka makan bangkai...,” jawab Abu Nawas. Dia tersenyum sambil melihat reaksi orang ramai.
Seperti yang dijangkakannya, orang ramai marah lalu mencemunya. Mereka merasakan bahawa Abu Nawas sengaja mahu mempersendakan Imam Hanbali. Tetapi beliau masih kelihatan tenang.
“Apa pula perangai aneh kamu yang ketiga?” tanya Imam Hanbali lagi. Beliau masih kelihatan tenang seolah-olah tidak terusik perasaannya dengan pertanyaan Abu Nawas itu.
“Saya selalu lari dari rahmat Allah.” Jawab Abu Nawas.
Sekali lagi orang ramai mencemuh Abu Nawas. Malah ada yang bercadang untuk menghalaunya keluar dari masjid itu. Tetapi dihalang oleh orang lain kerana lelaki itu kesayangan khalifah.
"Jika dia mengadu pada khalifah sudah pasti kita ditangkap dan dipenjarakan kerana Abu Nawas itu kesayangan khalifah," kata Nusair.
“Aku datang bagi menguji kebijaksanaan Imam Hanbali. Jadi, kamu jangan masuk campur. Tambahan pula aku sudah maklumkan kepada khalifah untuk mengujinya. Jika kamu sakiti aku nescaya kamu pula yang akan disakiti,” kata Abu Nawas dengan berlagak angkuh.
"Sekiranya aku dapat menyelesaikan masalah yang kamu katakan tadi apakah kamu mahu berjanji tidak mahu mengganggu aku lagi?" tanya Imam Hanbali.
“Aku bersetuju,” jawab Abu Nawas. "Tetapi jika kamu tidak dapat menyelesaikannya maka kamu tidak layak lagi mengajar orang ramai kerana ternyata aku lebih bijak daripada kamu.”
“Baiklah Abu Nawas,” kata Imam Hanbali. “Cuba kamu sebutkan sekali lagi perangai aneh kamu yang pertama?” 
“Aku suka bersaksi pada perkara yang tidak pernah aku melihatnya,” jawab Abu Nawas sambil bercekak pinggang kerana yakin Imam Hanbali tidak tahu jawapannya.
“Maksud kamu, kamu suka mengucap dua kalimah syahadah iaitu naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah sedangkan kamu tidak pernah melihatnya,” kata Imam Hanbali.
Abu Nawas kelihatan terpegun mendengar jawapan Imam Hanbali kerana ternyata jawapan itu memang benar. Namun dia masih tidah mahu mengalah lalu mengatakan perkara anehnya yang kedua.
“Aku paling suka makan bangkai,” katanya.
“Maksud kamu, kamu suka makan ikan kerana ikan itu tidak pernah disembelih. Itu yang kamu maksudkan suka memakan bangkai.”
Sekali lagi Abu Nawas terpegun mendengar jawapan Imam Hanbali. Lalu dia menyatakan perangai anehnya yang ketiga.
“Aku suka lari dari rahmat Allah. Apakah maknanya?” tanya Abu Nawas.
“Hujan itu adalah rahmat Allah. Apabila hujan turun kamu melarikan diri ke tempat teduh,” jawab Imam Hanbali.
Abu Nawas kelihatan kecewa kerana Imam Hanbali dapat menjawab dengan tepat masalah yang dikemukakannya. Namun dia masih tidak mahu mengalah. Otaknya segera berfikir mencari helah.
“Wahai Imam Hanbali, ternyata kamu seorang yang bijak. Tetapi tahukah kamu apabila bersembahyang pahala aku lebih banyak daripada kamu? Kamu tahu apa?” tanya Abu Nawas.
Imam Hanbali hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak mahu menjawab pertanyaan Abu Nawas itu. Melihat keadaan itu, Abu Nawas semakin lantang bersuara.
“Wahai tuan-tuan semua apakah kamu bersetuju kalau aku mengatakan apabila bersembahyang maka pahala aku lebih daripada pahala Imam Hanbali?” tanya Abu Nawas kepada orang ramai.
“Imam Hambali seorang ulama’ kamu seorang tukang lawak istana. Tentulah solat Imam Hanbali lebih banyak pahalanya daripada kamu!” jawab Sufian yang membela gurunya.
“Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. ada mengatakan yang maksudnya, solat orang yang sudah berkahwin itu lebih banyak pahalanya dari solat orang bujang? Aku sudah berkahwin tetapi Imam Hanbali masih bujang, kerana itu solat aku lebih banyak pahalanya,” kata Abu Nawas lalu segera keluar dari masjid.
“Memang benar, solat mereka yang sudah berkahwin itu lebih tinggi darjatnya dari solat mereka yang bujang,” kata Syeikh Siddiq yang turut berada di situ. Pada suatu masa dahulu dia pernah menjadi guru Imam Hanbali tetapi sekarang dia pula berguru dengan Imam Hanbali.
Katanya lagi, “ Allah menjadikan makhluk di bumi ini berpasang-pasangan. Ada jantan ada betina. Ada lelaki ada perempuan. Antara mereka saling memerlukan, kerana itu haiwan dan manusia berkembang biak. Manusia dijadikan makhluk yang paling mulia kerana itu Allah mensyaratkan perkembangan zuriat manusia mestilah melalui proses perkahwinan. Dengan perkahwinan akan terpeliharalah nasab keturunan dan wujud kasih-sayang terhadap keluarga.”

~TAMAT~

2 comments: