Tuesday, November 23, 2010

‘ADIK-BERADIK ANGKAT’ HaLaLkAh PeRhUbUnGaN..?

Tajuk yang ingin dinukilkan pada kali ini merupakan satu fenomena yang pernah berlaku semasa ana bersekolah di sekolah menengah dulu… Sekolah mana yerk..?? Ehem.. Itu dirahsiakan okey… hehehe… Oklah selamat membaca…     ^_^
Barangkali ramai yang mempunyai adik-beradik angkat ketika ini. Tidak kisahlah abang angkat ,  kakak angkat atau adik angkat, semuanya diangkat menjadi adik-beradik.  Eh, jangan lupa ada yang dinaikkan taraf menjadi ‘anak angkat’ pula.
Fenomena sebegini memang biasa berlaku. Sejak dari kecil, di bangku sekolah ramai pelajar mengakui orang itu, orang ini sebagai adik-beradik angkatnya. Jika ada yang cuba untuk mengusik seseorang, muncullah hero atau heroin memberi amaran. Mahu membela. Kononnya.
“Jangan kacau lagi si dia itu. Dia adik angkat aku.” Hampir tergelak sebenarnya mendengar amaran sebegini. Hendak takut dan gerun pada mulanya, apabila ada unsur Raja Lawak menghalangi. Seolah-olah melihat seorang bekas juaranya, Nabil sedang berkata-kata.
Pelik sekali, ketika fenomena ini menggilai muda-mudi, pandai pula mereka memilih berlainan jantina untuk dijadikan adik-beradik angkat. Bukan mahram pula tu. Lelaki memilih kaum Hawa untuk bergelar adik atau kakak angkat. Begitu pula sebaliknya. Dahulu, pada zaman persekolahan biasanya adik-beradik angkat ini berhubungan menerusi surat. Diletakkan di bawah meja sekolah. Atau mungkin ada ‘pak supir’ yang menjadi orang tengah menyampaikan risalah ‘angkat’ berkenaan.
Segala luahan isi hati, masalah  atau kegembiraan dikongsi bersama. Menerusi warkah tulus mulus. Maka bergandinglah sesama mereka saling membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Apa hendak dihairankan, abang dan kakak angkat kan ada. Kononnya.
Menginjak ke usia dewasa, ketika jiwa berbunga-bunga cinta, hubungan angkat ini masih terjalin. Namun mungkin dengan berlainan orang. Di institusi pengajian tinggi, membawa ke syarikat berkerja. Abang, kakak dan adik angkatlah tempat mengadu.
Belum cukup lagi tu. Malahan semua perkara, hal atau benda perlu mendapat keizinan adik-beradik angkat. Ke sana sini, dengan siapa atau bila, kalau abang atau kakak angkat tak izinkan, janganlah dibuat. Betul-betul prihatin. 
Lebih aneh, ada pasangan adik-beradik angkat ini mendapat restu ibu bapa pula. Restu yang membawa mereka bebas memasuki kamar tidur. Jika ditanya, mak dan abah tahu, itu abang dan akak angkat mereka. Lesen besar. Ops, nanti dulu.
Jangan. Jangan sampai kejahilan menguasai diri. Hingga mengabaikan syariat Islam. Dalam agama, mana ada adik-beradik angkat. Bebas bersentuhan, malah berpelukan hanya kerana hubungan mereka direstui keluarga. Angkat macam mana sekalipun, lelaki dan wanita bukan mahram itukan haram bersentuhan.
adik-beradik angkat bukan LESEN untuk bersentuhan

Ilmu dan pegangan agama semakin nipis. Iman entah ke mana, tuhan dan rasul juga ditinggalkan. Apa yang penting jangan pisahkan abang dan akak angkat ‘kami’.
Bukankah hubungan di antara dua jantina bukan mahram punya batasan dan hadnya. Islam kan begitu ajarannya. Kewujudan angkat ini hanyalah ciptaan manusia. Namun yang teruknya, hubungan itu melampaui batasan agama.
Tidak salah mencari seseorang untuk berkongsi sesuatu. Namun perlu sentiasa ingat, batasan itu tetap ada. Lagi pun, ramai lagi orang yang lebih layak untuk menasihati kita dalam menghadapi sebarang masalah. Begitu juga masa dan tempatnya. Banyak lagi yang tersedia luas dan tidak salah di sisi agama.
Jahil diri perlu dibendung. Ketika ada yang terlalu ghairah menjaga hubungan adik-beradik angkat hingga melupakan darah daging sendiri. Tanggungjawab tidak tertunai, orang lain pula yang diberi nafkah. Kononnya sayangkan adik-beradik angkat.
Awas ya, silap hari bulan, tidak kena gayanya adik-beradik angkat ini pula yang membuat onar hingga mencalarkan maruah dan harga diri. Ketika itu tiada ucapan yang mempu diberi seandainya orang bertanya: “Ini siapa angkat siapa..?”
Sahabat-sahabatku beringatlah sebelum terkena yer….

Kat sini nak kongsi sikit pendapat Dr. Yusuf Al-Qardhawi tentang hubungan lelaki dan wanita…..

Dr. Yusuf Al-Qardhawi


Pertemuan antara lelaki dan wanita tidaklah diharamkan secara mutlak. Bahkan harus dan dituntut sekiranya ia membawa kebaikan, memberikan manfaat ataupun menambah amalan soleh. Namun, walaupun dibolehkan, kita tidak boleh mengabaikan dan melanggar batas-batas syariat yang telah ditetapkan agama.
1)  Menjaga pandangan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.
Tidak gatal jeling-menjeling, tidak memandang aurat, tidak memandang dengan syahwat dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat.
2)  Mengenakan pakaian menurut syariat.
Seseorang wanita itu hendaklah  sentiasa memakai pakaian yang telah ditetapkan syariat serta sopan. Juga menutupi seluruh tubuh badannya selain dua tapak tangan dan wajah. Pakaian itu hendaklah tidak jarang dan tidak menampakkan bentuk tubuh.
3)  Berakhlak mulia seperti yang dituntut syariat terutama ketika bermuamalat dengan lelaki.
Menjaga tutur kata dan percakapan iaitu dengan menjauhi suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan. Seterusnya, menjaga cara berjalan agar tidak terdedah perhiasan yang disembunyikan serta tidak berjalan dengan gaya yang menggoda. Pergerakan berjalan juga tidak berlenggok-lenggok hingga menggoda lelaki ajnabi.
4)  Bau-bauan atau wangi-wangian.
Menjauhi dan mengelakkan wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya. Jauhi warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.
5)  Jumlah perjumpaan.
Jangan pernah membiarkan perjumpaan seorang lelaki dan seorang perempuan tanpa muhrim di sisi mereka. Jangan dibiarkan perjumpaan itu hanya berdua.
       

No comments:

Post a Comment